Hadis Hukum Najash Dan Tunangan Atas Tunangan Orang Lain

Nota Artikel: Artikel ini dipetik dari Channel Telegram # Kelas Hadis Ustaz Huzaifah



Hadith ke-3

Daripada Abu Hurairah radiyallahu anhu berkata: Rasulullah melarang orang bandar menjual kepada orang kampung, dan janganlah kamu semua melakukan sistem najash, janganlah seseorang menjual atas jualan saudaranya, janganlah bertunang atas tunangan saudaranya, janganlah seorang wanita itu meminta supaya diceraikan saudarinya untuk mencukupi apa yang ada didalam bejananya.

HR Bukhari, Muslim, Muwatta Malik, Abu Daud, Nasaie, Tirmizi dll.

 Huraian Hadith

Hadith ini dari sudut kesesuaiannnya tidak begitu sesuai untuk diletakkan didalam Bab ini, kerana bab ini lebih membicarakan berkenaan syarat dan persyaratan jual beli, sedangkan hadith ini membicarakan berkenaan larangan dan juga najash.

Adapun pengarang kitab ini, Imam Abdul Ghani al-Maqdisi walaupun meletakkan hadith ini didalam kitab yang sedang kita huraikan, namun didalam kitabnya yang lain Umdatul Kubra, beliau tidak meletakkan hadith ini didalam bab ini, tetapi didalam bab Najash.

Imam Bukhari pula meletakkan hadith ini didalam Bab Syarat-Syarat yang tidak dihalalkan ketika nikah" dan membawakan perenggan terakhir sekali daripada matan keseluruhan hadith.

 Kita telah membincangkan dulu dengan panjang lebar berkenaan tentang larangan orang bandar menjual kepada orang kampung, begitu juga tentang najash dan juga jualan atas jualan. Jadi rasa tak perlu untuk diulang kembali disini.

 Bagaimana pula dengan hukum tunangan atas tunangan orang lain?

Hukumnya haram sekiranya pertunangan itu telah muktamad dan diterima sepakat kedua-dua pihak. Ini yang disepakati oleh ijmak ulama'.

Jikalau masih 50/50, tak jelas samada diterima atau ditolak, maka pendapat yang paling jelas disisi Syafie hukumnya tidak haram.

Syarat berlaku pengharamannya ialah bilamana si pelaku mengetahui larangan tersebut. Jikalautak mengetahui, maka tidaklah jatuh hukum haram tersebut.

Sumber: Channel Telegram # Kelas Hadis Ustaz Huzaifah

Comments