Tidak Menghalalkan Barang Yang Sudah Diberikan

Assalammualaikum. Doktor, saya nak tanya tentang pemberian makanan dan barangan. Pada mulanya si dia memberi makanan dan barangan kepada kawannya. Lepas lama kemudian hubungan si dia denagn kawan mula retak dan si dia mengambil semua barang yang telah diberi dulu dan mengatakan "aku tak halalkan makanan yang aku bagi". Di sini apa hukumnya Doktor? Masa diorang baik semuanya kata "aku halalkan". Masa tak baik atau gaduh macam-macam keluar dari mulut. Terima kasih doktor.

Jawapan:

Waalaikumussalam

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ ـ رضى الله عنهما ـ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏ "‏ لَيْسَ لَنَا مَثَلُ السَّوْءِ، الَّذِي يَعُودُ فِي هِبَتِهِ كَالْكَلْبِ يَرْجِعُ فِي قَيْئِهِ ‏"‏‏.‏
Daripada Ibn 'Abbas r.a, Nabi s.a.w bersabda: Bukanlah untuk kita permisalan yang buruk. Sesiapa yang mengambil kembali apa yang dia hadiahkan, dia seperti anjing yang menelan kembali muntahnya.
[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Hibah wa Fadhliha.., no: 2622].

Dalam riwayat Ahmad disebutkan:
لَا يَحِلُّ لِلرَّجُلِ أَنْ يُعْطِيَ الْعَطِيَّةَ، فَيَرْجِعَ فِيهَا، إِلا الْوَالِدَ فِيمَا يُعْطِي وَلَدَهُ
Tidak halal untuk seseorang memberikan satu pemberian kemudian memintanya kembali kecuali pemberian yang diberikan kepada seorang anak oleh ayahnya. [Musnad Ahmad, Musnad Abdullah bin Abbas, no: 2119, Shaikh al-Arnaouth berkata: Isnadnya hasan].

Hadis ini menunjukkan satu permisalan yang buruk kepada sesiapa yang mengambil semula apa yang telah dihadiahkan, dan nabi s.a.w telah menyatakan bahawa permisalan yang buruk seperti di atas tidak layak ada pada diri seorang mukmin. Dalam riwayat Ahmad di atas pula disebutkan secara jelas bahawa perbuatan tersebut adalah tidak halal.

Oleh kerana itu jumhur ulama menyatakan bahawa haramnya mengambil semula apa yang telah dihadiahkan kepada orang lain dan terkecuali daripada larangan ini ialah apabila si ayah meminta kembali daripada anak apa yang telah dia hadiahkan kepada anaknya dengan syarat-syarat tertentu antaranya hal itu tidak akan memudharatkan anak tersebut.

Wallahua'lam.

hadiah



Sumber: Page Dr. Ustaz Rozaimi Ramle - Hadith

Comments