Hukum Membela Anjing

Oleh kerana sekarang berlaku polemik isu anjing ini, maka disini kita mengambil manfaat ilmu hasil daripada isu ini.

Soalan: Adakah membela anjing itu termasuk dalam kategori yang diharamkan ataupun halal dan apakah syarat-syarat yang diperlukan untuk membela anjing. Saya mengharapkan dalil-dalil daripada hadith atau ayat-ayat al-Quran?

Jawapan: Alhamdulillah wa Solatu Was Salamu ala Rasulillah

Saudaraku yang mulia, ini jawapanku yang aku petik daripada kitabku "al-Fawaid al-Azab Fima Ja'a Fil Kilab" Semoga Allah memberi manfaat dengannya.

Anjing & Belaan

1) Daripada Abu Hurairah radiyallahu anhu berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berkata:

Sesiapa yang memelihara anjing, maka sesungguhnya dia dikurangkan setiap hari amalannya sebanyak satu qirat melainkan anjing untuk menjaga kebun ataupun anjing menjaga binatang ternakan. ( HR Bukhari & Muslim)

2) Daripada Abu Hurairah radiyallahu anhu bahawa nabi Sallallallahu Alaihi Wasallam berkata:

Sesiapa yang memelihara anjing melainkan aniing menjaga binatang ternakan, ataupun anjing buruan ataupun anjing menjaga tanaman, dikurangi pahalanya setiap hari sebanyak satu qirat. ( HR Muslim)

3) Daripada Abdullah bin Umar radiyallahu anhu berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berkata:

Sesiapa yang membela anjing melainkan anjing menjaga binatang ternakan, ataupun anjing terlatih untuk memburu, dikurangkan amalannya setiap hari sebanyak dua qirat. ( HR Bukhari & Muslim)

4) Daripada Abdullah bin Mughaffal radiyallahu anhu berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berkata :

Sesiapa yang membela anjing melainkan anjing buruan, atau anjing untuk menjaga kambing atau anjing tanaman, maka sesungguhnya akan dikurangi amalannya setiap hari sebanyak dua qirat. ( HR Tirmizi, Nasaie, Ibnu Majah dan dihasankan oleh Tirmizi)

Intipati hadith

1) Diharamkan membela anjing melainkan apa yang termaktub didalam hadith-hadith yang disebutkan kerana kurangnya pahala bermaksud dosa maksiat yang diterima kepada pihak pelakunya.

2) Berkata sebahagian ulama seperti Ibnu Abdil Barr dengan maksud makruh ( dibenci) dengan alasan bahawa hadith tersebut hanya menyebut kurang amalannya.
- iaitu dari sudut pahala amalannya -menunjukkan bahawa membela anjing bukanlah haram, kerana jikalau haram nescaya dilarang kita dari membelanya dalam semua keadaan tidak kira kurang pahala ataupun tidak.  Maka dalil di atas menunjukkan kepada makruh bukan haram.
( at-Tamhid 14/221)

Tetapi pandangan itu ditolak oleh Ibnu Hajar: Apa yang didakwa oleh beliau (Ibnu Abdil Barr) tentang dakwaan tidak haramnya lalu dinisbahkan dengan apa yang dihujjahkan (seperti diatas) tidaklah tepat.

1) Bahkan kemungkinan maksud ancaman itu ialah diangkat rasa beramal dengan nisbah satu qirat yang mana tidak berlaku (keadaan sedemikian) sekiranya tidak membela anjing,

2) Ataupun bermaksud membelanya adalah haram dan yang dimaksudkan dalam hadith dengan kurang pahala itu ialah dosa yang berlaku kerana membelanya yang mana kadarnya ialah satu qirat ataupun dua qirat pahala. Maka pihak pembela itu dikurangkan pahalanya sebanyak satu qirat atau dua qirat mengikut kiraan dosa yang berlaku akibat membelanya. ( Fathul Bari 5/8)

Adakah harus membela anjing selain keadaan tersebut?

Imam Nawawi: Ulama berselisih pendapat tentang hukum bolehnya membela anjing selain tiga situasi yang dimksudkan seperti menjaga rumah dsb. Pendapat yang paling tepat ialah dibolehkan dengan dikiaskan kepada illah (sebab) yang disebut dalam hadith iaitu bila ada hajat.

Ibnu Abdil Barr: Makna hadith ini -iaitu merujuk hadith Ibnu Umar- termasuklah pada pendapatku - dibolehkan membela anjing untuk tujuan yang mendatangkan manfaat dan menolak mudarat apabila manusia memerlukan kepadanya.

Ibnu Hajar: Pendapat paling sahih didalam mazhab Syafie: Dibolehkan membela anjing untuk menjaga jalan sepertimana maksudnya yang berkait dengan makna dalil. Begitu juga yang dimaksudkan oleh Ibnu Abdil Barr.

Syeikh Yusuf bin Abdul Hadi berkata: -dinukil daripada sebilangan ulama- Tiada syak lagi bahawa nabi membenarkan untuk anjing bur
 uan sepertimana yang disebut dalam hadithyang pelbagai. Diberitakan juga  bahawa membela anjing untuk tujuan berburu tidak mengurangkan pahala.

Begitu juga dibenarkan untuk anjing yang menjaga haiwan gembala seperti dalam hadith anjing untuk menjaga kambing dan juga anjing yang menjaga tanaman.

Lalu diketahui disini, bahawa illah atau sebab yang membolehkan (menerimanya) ialah atas tujuan maslahah. Hukum pula berkisar kepada illahnya ( atau sebabnya) samada adanya mahupun tiadanya illah tersebut.

Apabila adanya maslahah, ( adanya sebab untuk kebaikan) maka boleh membelanya anjing tersebut, hinggakan ada sebahagian maslahah lebih utama lagi dan lebih penting lagi berbanding maslahah tanaman. Manakala sebahagian maslahah sama kategorinya dengan nas dan dalil yang disebutkan oleh syarak.

Tidak syak lagi bahawa buah-buahan termasuk dalam kategori tanaman, lembu dalam kategori kambing, begitu juga ayam, angsa dalam kategori kambing bagi menjaga dari dimakan musang dan sebagainya.

Begitu juga menjaga rumah dan menakutkan pencuri, begitu juga untuk memberi amaran kepadanya dan mengejutkan pemiliknya daripada tidur ( ketika berlakunya kecurian ) ialah maslahah yang lebih besar lagi.

Syarak sesuai dengan maslahah dan menolak sebarang mafsadah ( baca kerosakan), maka jikalau tiada maslahah maka di sana adanya mafsadah. ( al-Ighrab Fii Ahkamil Kilab 106-107)

Syeikh Soleh al-Uthaimin: Rumah sekiranya berada di tengah bandar, tiada keperluan untuk mengambil anjing sebagai pengawasnya, maka dalam hal ini, membela anjing untuk tujuan sedemikian adalah haram, tidk boleh dan mengurangkan daripada pahala pemiliknya setiap hari satu qirat atau dua qirat.

Maka wajib ke atas pemiliknya, membuangnya dan tidak membelanya.

Berbeza dengan rumah yang berada jauh di pendalaman yang sunyi dan tiada rumah sekelilingnya, maka boleh membela anjing untuk penjaga rumah dan keluarga didalamnya. Menjaga ahli keluarga lebih utama berbanding menjaga untuk tanaman mahupun binatang ternakan.

Adakah boleh menggunakan anjing untuk mengesan dadah ataupun mengesan pencuri?

Syeikh Soleh al-Uthaimin: Tidak mengapa , bahkan ia lebih utama lagi daripada untuk tanaman dan buruan. ( Syarah Zadul Mustaqni' Bab Wasiat)

Dikecualikan dalam bab anjing buruan dan seumpamanya sekiranya ianya anjing hitam ataupun anjing liar kerana terdapat dalil perintah membunuhnya. Maka tidak boleh membelanya, melatihnya begitu juga menjadikannya anjing buruan.

Berkata Imam Ahmad: aku tidak mengetahui seseorangpun yang memberi keringanan untuk makan apa yang dibunuh oleh anjing hitam sewaktu berburu. Ini juga pendapat yang diutarakan oleh Qatadah, Hasan al-Basri, Ibrahim an-Nakhaie, Ishaq bin Rahawaih dan Ibnu Hazm.

Jikalau mengambil anjing untuk berburu sesudah itu, ataupun untuk menjaga tanaman dan haiwan ternakan sesudah itu, apakah boleh membelanya?

Berkata Imam al-Iraqi:

Ada dua pandangan, yang paling sahih antara keduanya ialah boleh berdasarkan dalil hadith " melainkan anjing buruan", maka anjing itu termasuk dalam keadaan ini sekalipun ia tidak berburu ketika ini. ( Torh at-Tathrib 6/28)

Adakah boleh memelihara anjing yang tidak pandai berburu tetapi atas maksud untuk melatihnya?

Berkata Imam al-Iraqi: Jikalau anjing itu besar, maka boleh, jikalau anjing kecil kemudian dilatih dan diajar, maka ada dua pandangan, yang paling sahih antara keduanya ialah harus berdalilkan hadith diatas kerana ia anjing buruan pada masa akan datang. Maka jikalau ditegah untuk mengambilnya, maka tidak mungkin boleh mengajarinya melainkan setelah dipeliharanya.

Anjing


Sumber: Saaid.net

Comments